LABIS, 16 Jan: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.
Pengumuman nama Normala, 38, yang juga Ketua Muslimah PAS Labis, hari ini oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis yang turut dihadiri oleh Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan penasihat DAP Lim Kit Siang. Dikenali lebih mesra dengan nama Cikgu Mala, beliau merupakan salah satu nama yang telah disenarai pendek oleh parti tersebut bagi menghadapi calon BN pada pilihan raya kecil yang akan dilangsungkan pada 30 Jan nanti.
Mengenai pemilihan Normala sebagai calon, Abdul Hadi berkata: "PAS sedar wanita juga pengundi dan mereka juga perlukan suara mereka didengar". Beliau menambah ini bukan kali pertama PAS mengetengahkan wanita sebagai calonnya pada pilihan raya.
Normala merupakan anak kelahiran Kampung Serom 3, Muar dan merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Isteri kepada Makrof Abd Mutalib, beliau merupakan ibu kepada seorang anak perempuan dan dua lelaki. Normala adalah graduan Maktab Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan merupakan anak generasi kedua FELDA.
Beliau yang memegang Diploma Perguruan mula menggiatkan diri dalam Pas selepas menamatkan pengajian pada 1997. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu ditetapkan pada 22 Jan ini.
Barisan Nasional (BN) pula akan mengumumkan calonnya pada Rabu nanti.
No comments:
Post a Comment